"Alah, awak nak pergi dah?" kata Ratna pada Anas.
"Doktor kata saya dah okey, jadi saya boleh balik." Balas Anas sambil memberikan senyuman padanya. Muka Ratna tidak menunjukkan ekspresi, namun Anas dapat mengagak yang Ratna sebenarnya sedang berasa sedih.
"Kalau kita ada jodoh, kita akan jumpa lagi." Balas Anas sambil menepuk bahu Ratna. Ratna dapat merasakan perit pada tekaknya. Seperti ada sesuatu yang tersangkut di kerongkongnya. Ada sesuatu yang tersimpan pada hatinya, namun dia tidak tahu apakah benda tersebut. Dia tidak tahu hendak berkata apa.
Anas memeluk Ratna sebelum pergi. Dia melambai pada Ratna. Ratna membalas lambaiannya. Selepas ketiadaannya, Ratna hanya terduduk memandang katil sebelahnya. Ratna tidak tahu perasaan apa yang dia alami sekarang ini. Rasa apakah ini? Adakah ianya sedih? Mungkin juga. Dia sedih kerana kawan pertamanya pergi. Dia tidak tahu bila lagi dia akan berjumpa dengan Anas. Mungkin mustahil dia akan jumpa semula. Rupanya inilah rasa kehilangan. Fikir Ratna.
Beberapa hari kemudian, giliran Ratna pula dilepaskan dari wad. Namun orang yang menjemputnya balik bukanlah ibu bapanya.
"Pakcik Zahid?" Kata Ratna. Dia tertanya kenapa pakcik belah ayahnya yang menjemputnya.
"Ibu bapa Ratna sedang di luar negeri. Jadi mereka tak dapat nak jemput Ratna. Jom naik kereta, pakcik bawa awak balik rumah." Balas Encik Zahid. Sepanjang perjalanan ke rumah, mereka tidak berbual sesama sendiri. Ratna hanya diam membisu, tidak berkatakan apa-apa pada pakciknya.
Sesudah sampai di rumah, Encik Zahid memberitahu yang dia tinggalkan duit di meja makan. Kemudian, dia memandu pergi. Ratna memasuki rumahnya. Keadaan rumah kelihatan bersih. Ratna melihat ke sekililing rumah. Sangat sunyi. Tiada kedengaran ibunya memasak dan atau ayahnya menonton televisyen. Di meja makan, ada duit RM800 beserta nota. 'Duit belanja bulan ini'.
Tiba-tiba, rasa perit di tekaknya kembali lagi. Dadanya terasa berat. Ini ke rasanya sedih? Saya tengah rasa sedih ke? Kehilangan ibu bapanya menyebabkan dia terasa perit. Dada rasa sakit. Tekak sukar untuk menelan air liurnya. Dan, air mata mula mengalir? Sah, sekarang ini dia merasakan kesedihan. Kesedihan kerana kehilangan. Sebelum ini dia kehilangan kawan pertamanya, sekarang dia kehilangan ibu bapanya. Dia tidak mahu kehilangan apa-apa lagi. Dia bencikan rasa sunyi ini.
Kehidupan Ratna pada keesokan harinya berjalan seperti biasa. Dia menguruskan diri sendiri dengan membeli makanan, mengemas rumah, dan menonton televisyen. Sewaktu Ratna di hospital, dia telah pun menduduki Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah. Jadi sekarang ini dia harus menguruskan diri sendiri untuk kemasukan sekolah menengah bulan depan. Dengan duit yang ada, dia menaiki bas untuk ke sekolah menengah yang didaftarkan untuk membeli uniform sekolah menggunakan duit yang ada. Dia juga membeli makanan dari Kedai Makan Janda Letop yang berada di hadapan sekolah. Namun, tidak kira betapa sibuknya dia untuk sekolah bulan depan, dia tidak dapat hilangkan rasa sunyi lebih-lebih lagi apabila dia sampai di rumah.
★・・・・・・★
Hari ini merupakan hari orientasi. Ratna dan pelajar baru yang lain masuk ke dalam kelas yang didaftarkan. Ratna masuk ke dalam kelas 1 Alfa. Pada hari itu, hanya pelajar baru yang perlu datang ke sekolah. Hari orientasi dilakukan pada 31 Disember dimana pelajar akan didedahkan dengan budaya sekolah menengah, diberikan buku teks dan mengundi siapa yang akan menjadi ahli jawatankuasa dalam kelas. Ibu bapa pula diminta untuk menunggu di luar kelas. Waktu orientasi pendek sahaja, jadi selepas habis aktiviti pelajar akan terus balik bersama ibu bapa mereka. Ada juga pelajar yang tidak datang bersama ibu bapa mereka, dan Ratna salah satu pelajar itu.
Ratna melihat sekeliling kelasnya. Ada beberapa muka yang dia kenali dari sekolah rendah. Dan selebihnya pelajar tidak dikenali. Tetapi, berdasarkan apa yang dia lihat, semua pelajar di sini boleh bersembang sesama mereka walaupun mereka dari sekolah yang berbeza. Malah, pelajar yang duduk di sebelahnya pun berborak dengan pelajar dari meja hadapan. Ratna mahu cuba menegur mereka, namun dia tidak tahu mahu kata apa. Hingga akhir orientasi, dia tidak bercakap dengan sesiapa.
Sewaktu Ratna sedang tunggu bas di perhentian bas, dia terjatuhkan botol airnya. Ratna membongkok untuk mengambil botol air yang terjatuh di belakang perhentian bas. Kemudian, dia terdengar sekumpulan pelajar berborak mengenainya.
"Awak yang duduk sebelah Ratna Dewi, kan?" Kata salah seorang daripada mereka.
"Haah. Dia pendiam betul. Saya tak berani nak tegur dia sebab saya tengok dia semacam je." Kata pelajar yang duduk di sebelah Ratna di kelas itu.
"Baik awak jauhkan diri dari dia. Saya sekolah rendah sama dengan dia. Dia tu budak bermasalah dan pembuli. Dia suka pukul orang kalau dia tak dapat apa dia nak." Balas salah seorang daripada mereka.
"Ya ke? Kalau macam tu saya tak naklah rapat dengan dia." Balasnya kembali. Mereka kemudiannya berkata mahu ke 7-Eleven untuk membeli majalah Epop. Ratna berdiri dari tempat dia bersembunyi. Tak sangka rakan sekolahnya akan burukkan namanya pada pelajar lain. Tetapi, bila difikirkan semula, dia memang berkelakuan kasar dan dingin terhadap rakan sekelasnya sewaktu sekolah rendah. Ratna tidak tahu mahu rasa sedih atau marah dalam situasi ini.
ns18.222.153.154da2