"Untuk tugasan ni, awak semua kena duduk berkumpulan. Satu kumpulan lima orang ya." Kata cikgu Linda, cikgu untuk subjek Geografi. Semua orang sudah tahu mahu berkumpulan dengan siapa kecuali Ratna. Dia menunggu semua orang membina kumpulan. Selepas semua orang telah membuat kumpulan, barulah dia mencari kumpulan mana yang tidak cukup orang.
"Maaf, kami researved untuk kawan kami yang tak datang hari ni." Kata salah seorang pelajar.
"Kami pun sama." Balas pelajar lain dari kumpulan lain.
"Kumpulan ni untuk lelaki je." Kata seorang pelajar lelaki dari kumpulan lagi satu. Pada kumpulan terakhir, mereka tiada alasan untuk tidak menerima Ratna, jadi Ratna memilih untuk duduk dalam kumpulan mereka.
Cikgu Linda menerangkan tugasan mereka. Mereka diminta untuk membina peta Malaysia dalam bentuk tiga dimensi pada kertas manila. Selepas menerangkan peta bagaimana yang dia mahukan, cikgu Linda memberi masa selebihnya untuk pelajar-pelajarnya berbincang dan membahagikan tugas.
Ratna hanya mendiamkan diri sepanjang kumpulannya berbincang. Malah, mereka juga tidak bertanyakan apa-apa soalan padanya. Arjun, salah seorang pelajar dalam kumpulan tersebut dan juga dilantik menjadi ketua kumpulan menulis senarai tugasan di atas beberapa keping kertas kecil untuk dibahagikan pada ahli kumpulan. Kemudian, setiap orang ambil satu kertas. Ratna orang terakhir yang mengambil kertas kerana dia tidak mahu berebut dengan mereka. Dia membuka lipatan kertas. Pada kertas itu ditulis "bawa tanah liat".
"Semua orang bagi nombor telefon korang. Nanti saya mesej korang dan bagitahu bila kita nak berjumpa." Kata Arjun pada ahli kumpulannya. Mereka bersetuju. Setiap ahli kumpulan menulis nombor telefon mereka pada buku catatan Arjun termasuklah Ratna.
Kriiiing!
Bunyi loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat. Semua pelajar berpusu keluar dari kelas untuk ke kantin. Ada pelajar yang beli makanan dan ada yang membawa bekal. Ada diantara mereka makan di kantin, dan ada yang makan di koridor. Seperti biasa, Ratna membawa bekal makanannya dan berjalan ke kantin. Namun, matanya melirik ke arah seorang pengawas yang berjaga di tangga berhadapan dengan taman bunga sekolah. Dia rasa seperti dia mengenali pengawas itu. Tidak, dia memang kenal pengawas itu.
"Anas."
Tiba-tiba, Ratna berasa seperti ada satu tenaga yang melonjak dalam dirinya. Harinya yang selama ini suram dan sepi kini membuatkan dia berasa gembira yang teramat. Tanpa berlengah lagi, Ratna mendekatinya.
"Hai." Ratna menyapanya.
"Eh, Ratna! Awak pun sekolah di sini?" Balas Anas. Dia kelihatan gembira melihatnya. Hal ini membuatkan Ratna berasa tenaga dalam dirinya makin melonjak.
"Ya. Saya pilih untuk sambung belajar di sekolah ni." Balas Ratna. Anas melihat kiri dan kanan sebelum berkata. "Saya tak boleh borak lama dengan pelajar sebab saya tengah bertugas. Nanti kalau ada masa kita berborak lagi ya."
Ratna mengangguk tanda faham. Ratna tersenyum lebar sepanjang perjalanannya ke kantin. Dadanya tidak berhenti berdegup kencang. Tetapi perasaan ini lain dari perasaan sewaktu dia dapat tahu yang keluarganya meninggalkannya. Perasaan kali ini berasa sangat selesa. Dia seperti merasakan ada tenaga dalam dirinya. Mungkin inilah yang dinamakan 'gembira', fikirnya.
Sejak itu, Ratna mula mengikuti Anas secara senyap. Dia akan makan di taman bunga supaya dia dapat melihat Anas setiap hari. Pada waktu pagi pula, Ratna akan datang awal dan duduk di pondok. Dia menunggu Anas melalui pondok tersebut supaya dia boleh menyapanya. Hari-hari Ratna menjadi ceria sejak kehadiran Anas semula dalam hidupnya. Kalau boleh, dia tidak mahu Anas hilang lagi dari hidupnya. Tanpa dia sedar, Ratna mengikuti Anas hampir setiap masa.
Pada waktu rehat, semasa Ratna sedang menuruni anak tangga iaitu tempat Anas bertugas, dia terdengar perbualan Anas bersama pelajar-pelajar lelaki lain.
"Hei, siapa minah yang ikut awak tiap hari tu?" Kata salah seorang daripada kumpulan lelaki itu.
"Tu kawan saya." Balas Anas. Adakah mereka bercakap tentang saya? Ratna menyorok supaya dia dapat mendengar perbualan mereka.
"Macam stalker adalah. Mana awak pergi mesti dia ada. Kenapa eh?" Kata mereka.
"Itulah. Seram pulak saya. Awak tak takut ada stalker ke, Anas?" Balas pelajar lelaki yang lain.
"Eh, korang ni. Sudahlah, saya tengah bertugas ni. Shuh!" Balas Anas. Dia menghalau rakan-rakannya dan menyuruh mereka ke kantin.
★・・・・・・★
Ratna menceritakan apa yang terjadi di sekolah pada Puan Maryam. Dia mendengar dengan teliti cerita yagn Ratna beritahu.
"Jadi, Ratna, awak cakap awak rasa... terikat dengan Anas?" Balas Puan Maryam.
Ratna mengangguk. Jelas kelihatan yang dia suka bercerita mengenai Anas.
"Dia seorang saja yang faham saya. Dia satu-satunya yang sama seperti saya." Kata Ratna.
"Sama bagaimana?" Balas Puan Maryam.
Ratna menggigit bibir. Dia mengerutkan dahi, seolah-olah mencari ayat yang sesuai untuk menggambarkan perasaannya.
"Saya... tak tahu nak jelaskan. Saya tak rasa apa-apa dengan orang lain. Mereka... hambar. Kosong. Tapi Anas lain. Saya tahu dia faham saya sebab kami sama." Balas Ratna. Dia masih tersenyum.
"Tapi Ratna, Anas bukanlah satu-satunya orang dalam dunia ini yang boleh memahami awak." Balas Puan Maryam. Kali ini dia menoleh badannya pada Ratna. Ratna mengetap gigi. Dia merasakan sesuatu mencucuk hatinya—sesuatu yang terasa seperti amarah.
"Ratna, awak pernah terfikir tak yang tindakan awak agak melampau. Yalah, mengekori seorang lelaki ke mana sahaja, memandang dia, asyik terfikirkan tentang dia. Bunyi seperti awak terlalu obses dengannya." Kata Puan Maryam. Ratna tersentak mendengar kata-katanya.
"Mana ada!"Kata Ratna dengan meninggikan suaranya sedikit. Puan Maryam terkejut mendengar balasan Ratna, tetapi masih kekal dengan muka tenang.
"Tenang, Ratna." Puan Maryam cuba untuk menenangkan Ratna. "Okey, cuba awak bayangkan. Ada lelaki ikuti awak ke mana sahaja awak pergi. Di mana awak ada, dia pun ada. Kan bunyinya seperti menakutkan?" Katanya lagi. Ratna tidak balas apa-apa, namun riak wajahnya jelas yang dia tidak puas hati. Dia tetap dengan pendirian dia.
"Ratna, obsesi ini tidak sihat. Awak meletakkan semua harapan emosi awak pada satu orang. Macam mana kalau sesuatu berlaku padanya dan dia tiada, apa akan jadi dengan awak?"
Ratna menoleh, memandang terus ke arah Puan Maryam dengan mata tajam.
"Dia tak akan pergi." Katanya pendek.
"Macam mana awak pasti? Orang berubah. Situasi berubah." Balas Puan Maryam. Dia menyilang tangannya.
Ratna mencengkam hujung bajunya. Perasaan marah semakin membuak, tetapi dia masih cuba untuk mengawalnya. "Kenapa semua orang asyik cakap benda yang sama? Kenapa semua orang asyik fikir saya yang salah?"
Puan Maryam menarik nafas perlahan. "Saya tak cakap awak salah, Ratna. Saya cuma nak awak faham bahawa perasaan ini boleh menjadi berbahaya jika tidak dikawal."
Ratna bangun dari sofa dengan kasar, tangannya mengepal. "Saya tak perlukan terapi ini."
Dia berpaling dan melangkah keluar dari bilik itu sebelum Puan Maryam sempat berkata apa-apa lagi. Di luar, Ratna berdiri sejenak di koridor hospital, menggenggam pergelangan tangannya sendiri. Dadanya berombak, bukan kerana sedih—tapi kerana marah. Semua orang kata dia salah. Semua orang kata perasaannya tak betul. Kalau begitu, dia tak perlukan mereka. Dia tak perlukan sesi terapi ini lagi.
Dia hanya perlukan Anas.
ns216.73.216.81da2