September 2023
Angin dingin menyelinap masuk melalui tingkap yang terbuka luas. Burung layang-layang berkicauan — petanda hujan bakal turun. Indahnya suasana di luar, tapi...
Kenapa aku rasa berat sangat hari ini? Mata ni pun susah betul nak dibuka...
Baru aku teringat — hari ini, Umi dan Abah ke mahkamah untuk urusan perceraian mereka. Patutlah aku rasa berat. Rupa-rupanya, hati ini enggan menghadapi hari ini.
Masa berlalu pantas. Jam sudah menunjukkan pukul 6.00 pagi. Aku ada kelas jam 8.00 nanti. Ahh, tak boleh ke kalau aku tak pergi? Aku tak nak jumpa sesiapa. Aku penat...
Penat sangat...
Semalam baru saja Abah hantar aku balik ke kolej, selepas seminggu cuti pertengahan semester. Sebelum berpisah, dia pesan:
"Jangan sedih-sedih. Apa pun yang jadi, benda dah berlaku. Nak buat macam mana. Setiap kali solat, doalah untuk Umi dan Abah. Belajar elok-elok!"
Aku sentiasa ingat pesanan Abah. Dia tak pernah gagal bagi nasihat dan semangat pada anak-anak dia. Tapi... dia tak penat ke? Kalau aku sendiri dah penat, dia tentu lagi penat kan? Kesian Abah...
30 minit kemudian, aku dah siap mandi. Bau harum sabun Carrie Junior, sabun kegemaran aku, masih melekat di badan. Hari ini aku pakai baju raya — kebarung merah jambu dipadankan dengan tudung shawl cotton lilac. Aku suka gabungan warna yang kontras tapi sepadan. Sebelum bersiap sepenuhnya, aku sempat tunaikan solat Subuh sebelum waktu Syuruk.
Selesai bersiap, aku buka telefon dan terus ke WhatsApp. Mahu pastikan kelas jam 8.00 pagi itu tidak dibatalkan. Subjek pertama hari ini ialah Computer Science — subjek kegemaran aku. Pensyarah kami sangat baik dan spontan. Untuk semester pertama ini, fokus utama ialah coding. Aku suka coding — tak mudah, tapi tak susah sangat. Yang penting, seronok! Masing-masing ada cara tersendiri untuk selesaikan masalah.
Aku buka grup WhatsApp kelas — tiada sebarang makluman. Nampaknya kelas berjalan seperti biasa.
Jam menunjukkan 7:45 pagi. Masa untuk bergerak ke kelas. Makmal komputer agak jauh dari blok penginapan, jadi aku perlu keluar awal. Sebelum keluar, aku sembur sedikit minyak wangi A Thousand Wishes dari Bath & Body Works — beli sebab Junior hasut. Jam tangan RM10 dari Shopee aku sarung di pergelangan tangan. Tanpa jam, hidup rasa serabut, tau.
7:55 pagi — fuhh, 5 minit lagi kelas mula. Laju betul aku berjalan. Sebelum masuk ke kelas, aku singgah ke tandas berhampiran. Awning tudung senget sebelah! HAHAHA. Mesti sebab aku jalan laju sangat. Aku betulkan tudung, kemudian sapu semula lipstick yang hilang sebab asyik menjilat bibir yang kering.
Aku sempat ambil gambar depan cermin tandas.
Tanpa sedar... air mata mula mengalir.
ns216.73.216.187da2